“Dah Buat Report Dekat IPD Tak Ada Tindakan, Saya Sendiri Akan Ambil Tindakan Pada IPD Tersebut!” – Ayob Khan Pandang Serious Isu Dalaman Polis
Memang tak boleh buat main dengan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan. Mungkin itulah apa yang sedang bermain-main dalam fikiran penjenayah dan anggota yang mempunyai masalah disiplin dan integriti.
Datuk Ayob Khan baru sahaja memberitahu bahawa beliau mempunyai senarai nama anggota dan pegawai polis yang didakwa bersubahat dengan kumpulan jenayah terancang iaitu Geng Nicky.
Suspek utama yang disyaki sebagai ketua kumpulan ini adalah ahli perniagaan yang berada didalam buruan pihak polis iaitu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee. Nama-nama mereka yang bersubahat tidak didedahkan.
ADA KEMUNGKINAN RAMAI LAGI YANG BERSUBAHAT
Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa masih ramai lagi yang terlibat dalam jenayah yang dirancang oleh kumpulan terbabit. Semua ini berdasarkan hasil siasatan forensik dan barangan rampasan yang dibuat ke atas kes terbabit.
“Tunggulah… benda (kes) ini tidak statik kerana daripada soal siasat kita, ia akan berkembang.
“Yang pasti lebih ramai bukan setakat 34 orang (anggota dan pegawai polis) saja. Senarai nama memang tidak akan didedahkan, saya akan terus tangkap.
“Tak guna saya keluarkan senarai dan kongsi pada semua, nak buat apa?. Saya pasti bila (siasatan) lengkap nanti tangkapan akan dibuat, tunggu dan lihat,” katanya.
POLIS JOHOR SUDAH BUKTIKAN KEMAMPUAN
Datuk Ayob Khan juga berkata bahawa polis Johor sudah berjaya membuktikan kemampuan dan kejayaan dalam mengambil tindakan terhadap jenayah terancang.
LINK VIDEO :
“Di Johor kita sudah buktikan, kita sudah tangkap 24 anggota dan pegawai penguat kuasa menerusi Op Benteng dan mereka sudah didakwa di bawah jenayah terancang.
“Inilah format yang akan saya gunakan dalam kes membabitkan kumpulan Geng Nicky. Keutamaan tindakan tata tertib adalah paling akhir sekali dan saya tidak akan serah (senarai nama) kepada JIPS untuk diambil tindakan,” katanya.
PEGAWAI DAN TIGA ANGGOTA POLIS DITAHAN
Seorang pegawai dan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes pemerasan terhadap pengurus kilang perabot di Batu Pahat, Khamis lalu.
Beliau berkata siasatan mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk memberi wang sejumlah RM1,500.
Tujuan utama “bayaran” tersebut adalah sebagai upah kepada pegawai kanan dan tiga anggota polis terbabit. Hal ini kerana tindakan tidak akan diambil ke atas pekerja asing di kilang perabot itu yang tidak mempunyai dokumen sah jika “bayaran” dilakukan.
Menurutnya lagi, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan jumlah diminta. Kemudian pegawai dan anggota yang terbabit dikatakan bersetuju untuk mengurangkan kepada RM1,000.
LINK VIDEO :
“Pengurus kilang itu menyerahkan wang berkenaan kepada pegawai dan tiga anggota polis berkenaan yang kemudiannya beredar dari lokasi tanpa mengambil tindakan terhadap pekerja asing terbabit.
“Susulan laporan polis yang dibuat pengurus kilang berkenaan, atas pegawai dan anggota polis berusia antara 26 hingga 46 tahun itu ditahan Khamis lalu.
“Mereka direman bermula 8 hingga 9 April lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini dan mereka mungkin didakwa di mahkamah hujung minggu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
SUDAH LAMA KEGIATAN DIJALANKAN
Beliau berkata, pegawai dan tiga anggota polis terbabit dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan pemerasan dengan menjadikan kilang di Batu Pahat sebagai sasaran mereka.
“Semua suspek ini dipercayai memungut cukai pintu dan pergi ke kilang-kilang untuk melakukan pemerasan, cuma kali ini mangsa buat laporan polis.
“Saya harap masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada saya kerana saya akan ambil tindakan.
“Kalau buat laporan kepada ketua polis daerah tetapi tidak diambil tindakan, saya akan ambil tindakan ke atas ketua polis daerah itu,” katanya.
Ketegasan Datuk Ayob Khan dan polis Johor dalam menangani kegiatan jenayah dan salah laku dalam kalangan anggota serta pegawai harus menjadi contoh dan ikutan kepada polis-polis negeri lain.
Hal ini kerana ramai pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan kuasa dan harta untuk aktiviti tidak bermoral.
Ia sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan rakyat terhadap keselamatan mereka. Semoga Malaysia dapat membanteras segala jenayah dan aktiviti tidak bermoral ini sesegera yang mungkin.
SUMBER : BERITA HARIAN